KETIKA umat Islam memasuki puasa hari ke-13 pada Selasa, jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terkenang suasana sambutan Ramadan di Malaysia.
Pelumba berusia 35 tahun itu ketika ini berpuasa di Mallorca, sebuah pulau di Sepanyol berhampiran perairan Mediterranean kerana mengikuti kem latihan untuk perlumbaan di sekitar Eropah.
Beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman tidak membayangkan juadah-juadah enak di bazar Ramadan.
Sebaliknya berlegar di fikiran pelumba yang berasal dari Terengganu itu ialah makanan yang tular di Malaysia.
"Waktu ini saya memikirkan bilalah dapat rasa makanan-makanan bazar yang saya tengok viral di Malaysia.
Sinar Harian hujung bulan lalu melaporkan pelbagai insiden yang dialami pengguna di bazar Ramadan antaranya martabak hangit, karipap inti oksigen selain harga melampau.
Tular di laman sosial Facebook, Warga Kuantan Official pada 30 Mac apabila seorang wanita berkongsi pengalaman buruk selepas terbeli karipap berkulat di sebuah bazar di Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, Azizulhasni turut berkongsi sesi latihan yang memenatkan terutama pada bulan Ramadan yang memerlukan kepada kekuatan mental dan fizikal.
"Latihan sebagai atlet elit memang penatnya di tahap yang berlainan. Apatah lagi kalau berlatih di bulan Ramadan.
"Di sinilah kita dapat merasakan yang kekuatan mental itu adalah di atas kekuatan fizikal. Ketahuilah anda semua yang di atas kedua-dua kekuatan itu berdirinya kekuatan spiritual,” katanya.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama pelumba-pelumba negara yang lain menjalani kem latihan di Velodrom Illes Balears bagi menyiapkan diri untuk perlumbaan di sekitar Eropah.
Pertengahan bulan lalu, Azizulhasni yang mendapat kecederaan semasa sesi latihan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan aksinya dalam perlumbaan Piala Negara-Negara di Kaherah, Mesir selepas mendapat nasihat doktor.
Sebelum itu, Azizulhasni yang kembali berlumba pada penghujung Februari lalu selepas rehat panjang ekoran pembedahan berkaitan jantung berjaya meraih pingat perak dalam acara keirin dalam saingan Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia.