PERMINTAAN ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong supaya atlet diberi khidmat sokongan lebih konsisten menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, antara isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Road To Gold (RTG) pada Khamis ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang juga merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa RTG berkata, maklum balas sedemikian akan menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan Malaysia mencapai impian meraih pingat emas pertama Olimpik.
"Beberapa isu telah diketengahkan dalam perhatian RTG, kita akan bincangkan semua isu ini dalam mesyuarat, ada beberapa isu akan ditambah baik," katanya pada sidang akhbar direktori fasiliti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada Selasa.
Media pada Isnin melaporkan harapan Pandelela supaya skuad terjun negara mendapat khidmat sokongan yang lebih konsisten seperti khidmat tukang urut dan biomekanik sukan seperti disediakan ketika edisi London 2012 dan Rio 2016, selain keperluan untuk analisis video.
Pandelela mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara menyumbang pingat (gangsa) di Sukan Olimpik pada edisi 2012 bagi acara 10 meter (m) platform dan kemudian meraih perak dalam 10m platform seirama menerusi gandingan bersama Cheong Jun Hoong pada edisi 2016.
Sementara itu, Hannah berkata, Jawatankuasa RTG tidak mahu mengumumkan dahulu senarai atlet dalam program tersebut atas permintaan tiga bekas atlet - Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi - yang berada dalam jawatankuasa berkenaan.
"Kita belum bincang dengan teliti, kalau ikut perspektif pentadbir, kita suka nak umum, tetapi kita nak hormati perspektif bekas atlet juga. Jawatankuasa ini akan buat reviu berkala, contohnya atlet itu ranking 10 teratas dunia sekarang, tapi tahun depan langsung tak layak yang perlu dikeluarkan dan ada atlet baharu yang akan masuk kerana layak.
"Tempoh kelayakan itu ada yang belum mula pun, jadi kita kenal pasti (atlet berdasarkan) ranking yang sedia ada, pencapaian berdasarkan Olimpik lepas, serta potensi pingat dan sebagainya, kemudian kita akan lihat apa mereka perlukan dulu," katanya.
Ditanya mengenai beberapa negara yang dikatakan mahu memboikot temasya Olimpik atau kejohanan kelayakan ke Paris 2024 jika ada penyertaan dari atlet Rusia dan Belarus, Hannah berkata, perkara berkaitan itu belum dibincangkan.
"Kita belum bincang perkara ini dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia), saya yakin (Presiden MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akan membawa perkara ini dalam perhatian jawatankuasa nanti. Bagaimana respons negara lain, akan berbeza dengan apa maklum balas yang kita berikan, biar saya bincang dulu dengan MOM," katanya.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) baru-baru ini membenarkan atlet Rusia dan Belarus untuk beraksi dalam kejohanan kelayakan sebagai atlet neutral, namun ia tidak disenangi oleh Ukraine dan beberapa negara barat yang mengancam untuk memboikot kerana konflik Rusia-Ukraine masih berlarutan sejak Februari tahun lepas. - Bernama