KELANTAN FC melakukan kejutan apabila mengumumkan Rezal Zambery Yahya sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan Choi Moon-sik yang direhatkan susulan aksi kurang menyengat diperagakan The Red Warriors dalam saingan Liga Super ketika ini.
Perkhabaran mengejutkan itu diumumkan Kelantan FC menerusi kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook pada Selasa.
Pengumuman itu dibuat sejam sebelum sepak mula saingan Liga Super antara Kelantan FC dan Terengganu FC malam ini.
"Semoga dengan pelantikan ini, Rezal Zambery dapat memikul tanggungjawab untuk mamacu pasukan (Kelantan FC) ke arah yang lebih baik," katanya.
Semasa dibawah kendalian Moon-sik Kelantan meraih satu kemenangan satu, satu seri dan merekodkan empat kekalahan dalam enam perlawanan setakat ini.
Rezal Zambery bukanlah nama asing buat Kelantan apabila membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Perdana musim lalu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bekas pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Frank Bernhardt dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kelantan FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Kelantan FC memaklumkan, pelantikan Bernhardt itu bagi menggantikan pengarah teknikal sebelum ini, Nasir Yusuf.