Jika tak perlu, jangan buat pinjaman bank

Iklan

BERMULA Jumaat ini, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2.

Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank akan menyediakan kemudahan pinjaman tersebut dengan jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000 tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Iklan
Iklan

Pinjaman itu ditawarkan dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara empat hingga lima peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

Tentunya tawaran tersebut memberi sedikit kelegaan kepada pencarum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dua minggu lagi memandangkan persediaan menyambut hari lebaran memerlukan kos tinggi termasuk untuk membeli baju baharu dan barangan keperluan lain terutama bagi yang berkeluarga besar.

Iklan

Namun, ramai juga pencarum yang berasa kecewa selepas desakan demi desakan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar tidak berjaya melembutkan hati pemimpin seperti kerajaan sebelum ini.

Bermacam-macam sudah dibuat. Daripada ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran KWSP secara bersasar, sehinggakan ada juga pencarum yang sanggup berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP.

Iklan

Disebabkan desakan bertubi-tubi itu juga menyebabkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli terpaksa mengemukakan empat sebab kerajaan tidak membenarkan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar.

Pertama, KWSP diwujudkan untuk pencarum mempunyai simpanan di hari tua.

Kedua, menghadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

Ketiga, kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak keluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.

Keempat, sekiranya pencarum mati sekalipun, simpanan dalam KWSP akan dapat kepada waris.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, inisiatif kerajaan itu perlu disokong kerana ia memberi manfaat kepada pencarum yang layak dan pada masa sama, menjamin kelangsungan hidup di hari tua.

Bagi penulis, pencarum yang berhasrat membuat pinjaman, adalah lebih baik berfikir banyak kali kerana keputusan diambil itu pasti ada risikonya.

Kalau benar-benar perlukan duit baharu buat pinjaman bank. Kalau kita boleh cari atau usaha cara lain, itu adalah lebih baik walaupun kadar faedah cagaran yang rendah dikenakan iaitu antara empat dan lima peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan tidak benarkan orang ramai keluarkan caruman KWSP lagi kerana ini bukan waktu Covid-19 lagi, mereka boleh kerja, tetapi ada beberapa kes mendesak yang dimaklumkan.

"Umpamanya dia ada wang, tetapi tak dapat bayar yuran pendidikan anak di luar negara dan kita tak benar keluarkan KWSP, jadi boleh guna kaedah itu tetapi dengan syarat yang ketat," katanya.

Katanya, kerajaan berharap rakyat faham mengenai keterbatasan KWSP yang terikat kerana ia bukan agensi pinjaman seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Jangan anggap KWSP sebagai satu-satunya kaedah bagi meringankan beban mereka," katanya.

Penulis pasti langkah kerajaan ini untuk membantu rakyat yang memerlukan tetapi dalam masa yang sama memikirkan masa hadapan pencarum KWSP.

Keputusan kerajaan itu juga menunjukkan tanda prihatin terhadap isu yang melanda rakyat, terutama membabitkan pencarum KWSP.

Namun kita harus ingat bahawa wang KWSP ini adalah simpanan masa tua dan Malaysia sedang menuju ke arah ‘aging society’ pada tahun 2030.

Justeru, jika tiada keperluan, maka tidak perlulah membuat pinjaman bank dengan mencagarkan caruman KWSP.

Kelulusan segera, kadar faedah yang rendah, semua itu akan membuatkan ramai yang terperangkap dengan hutang yang terpaksa dipikul kemudian hari dan akhirnya menyesal.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian