Tolak pengadil, Mitrovic digantung lapan perlawanan

Iklan
Mitrovic (kanan) dilayangkan kad merah kerana mengasari Kavanagh dalam saingan Piala FA bulan lalu. - Foto Agensi

PADAH menimpa Aleksandar Mitrovic apabila digantung lapan perlawanan kerana mengasari pengadil ketika Fulham kalah kepada Manchester United dalam saingan suku akhir Piala FA bulan lalu.

Penyerang antarabangsa Serbia itu turut didenda 75,000 pound (RM411,781).

Iklan
Iklan

Pemain berusia 28 tahun itu dilayangkan kad merah kerana menolak Chris Kavanagh selepas pegawai perlawanan berkenaan menghadiahkan sepakan penalti dan melayangkan kad merah ke atas pemain Fulham, Willian kerana menahan bola dengan tangan di depan gol.

Jurulatih Fulham, Marco Silva yang turut dilayangkan kad merah dalam saingan tersebut akan digantung dua perlawanan.

Iklan

Fulham mendahului 1-0 sebelum insiden tiga kad merah itu, menyebabkan mereka akhirnya tewas 1-3 dalam aksi di Old Trafford tersebut.

Selain penggantungan automatik tiga aksi, Mitrovic digantung tiga lagi perlawanan kerana tindakan ganas terhadap pengadil dan dua perlawanan lagi kerana menggunakan perkataan kesat, menghina dan mengancam.

Iklan

Mitrovic pada minggu lalu mengakui menyesal dengan tindakannya dan sudah bercakap serta meminta maaf daripada Kavanagh.

Beliau menjalani penggantungan pertama ketika Fulham tewas 1-2 kepada Bournemouth dan tidak dapat bermain sehingga menentang Southampton pada 13 Mei.