Cuaca kering, elak pembakaran terbuka

Iklan
Antara pembakaran terbuka yang direkodkan JAS Terengganu. - Foto JAS

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 50 aduan pembakaran terbuka diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, jumlah itu agak membimbangkan berbanding 103 aduan pembakaran terbuka yang direkodkan di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebakaran mudah berlaku berikutan negara kini memasuki fasa peralihan monsun yang menyebabkan negeri-negeri di semenanjung Malaysia mengalami cuaca kering dan panas.

Ramli berkata, bagi menghadapi keadaan ini, JAS Terengganu telah mengambil langkah meningkatkan aktiviti pemantauan dan menggerakkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di peringkat negeri Terengganu berkuatkuasa 29 Mac lalu.

Iklan

Katanya, antara langkah yang telah diambil adalah meningkatkan rondaan darat dan penggunaan dron.

"Ia bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan terutama di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar (fire prone areas) seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

Iklan

"Surat arahan juga dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab ke atas tapak pelupusan sampah dan pemilik ladang supaya mengambil langkah pencegahan, mengawal rapi dan memastikan kawasan seliaan masing-masing tidak terbakar.

"Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian jerebu setempat di kawasan masing-masing,” katanya.

Jelas Ramli, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap sesiapa sahaja yang menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang gagal mematuhi seksyen tersebut boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, kita juga adakan kempen kesedaran melalui media massa dan elektronik untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara terutamanya pembakaran terbuka,” katanya.