PUTRAJAYA - Seramai 29 individu disyaki terlibat dengan sindiket pengurup wang haram diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang pada Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyerbu 10 premis yang disyaki menjalankan aktiviti pengurup wang tanpa lesen.
"Premis tersebut dikendalikan oleh warga asing yang terdiri daripada warga Bangladesh, India dan Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sindiket ini beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kiosk menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak sebenar aktiviti pengurup wang tanpa lesen daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
"Mereka mengenakan bayaran yang murah bagi menguruskan kiriman wang keluar negara," katanya.
Katanya, seramai 11 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga India, lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 26 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi itu.
Ruslin berkata, tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun dipercayai merupakan dalang utama sindiket di tiga lokasi berlainan dan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527 yang disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, sindiket itu mampu menguruskan kiriman wang keluar negara mencecah RM108 juta setahun.
"Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
"Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.