Skuad hoki remaja buru emas di Kemboja

Iklan
Skuad hoki remaja negara berazam meneruskan legasi pingat emas di Sukan SEA Kemboja bulan depan. Foto Facebook MSN

BIARPUN memegang status juara 16 kali acara hoki di pentas Sukan SEA, skuad hoki remaja enggan terbuai dengan kejayaan diraih itu, sebaliknya berazam untuk meneruskan legasi itu di Phnom Penh, Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Kapten skuad hoki remaja negara Muhamad Faris Harizan berkata, biarpun berupaya merealisasikan misi mempertahankan pingat emas, skuad Young Tigers sebaliknya tidak boleh memandang remeh cabaran negara Asean lain pada temasya dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

Menurut Faris yang bermain di posisi pertahanan, masih banyak 'kerja rumah' perlu dilakukan skuad hoki remaja negara sekiranya tidak mahu diaibkan pada Sukan Asia Tenggara di Kemboja itu.

"Tekanan ada seperti biasa, namun kita tidak boleh ambil mudah semua pasukan Asean yang lain. Mereka juga sudah semestinya tidak akan memberikan laluan mudah buat negara.

Iklan

"Sukan SEA ialah kejohanan kompetitif antarabangsa. Walaupun dikira sebagai medium menimba pengalaman, kami perlu kekal dengan misi mempertahankan pingat emas dimiliki sebelum ini," katanya.

Skuad hoki negara merupakan kuasa besar pada temasya Sukan SEA dengan memegang rekod memenangi 16 pingat emas sejak 1971.

Iklan

Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah di Kuala Lumpur 2017, manakala kali pertama meraih warna pingat sama pada 1971, juga ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Faris pada masa sama berkata skuad remaja boleh menarik nafas lega apabila empat pemain senior negara disahkan turut serta dalam skuad itu sekali gus berupaya memperkukuh cengkaman negara pada temasya itu.

Pada edisi kali ini, kelibat pemain Speedy Tigers; Muhamad Ramadan Rosli (pemain tengah), Muhamad Zaimi Mat Deris (penjaga gol) serta Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar (masing-masing pertahanan) akan turun memperkukuh keampuhan skuad remaja sedia ada.

"Dengan adanya mereka ia dapat membantu pemain remaja daripada segi pengetahuan dan pengalaman sebagai bekalan ke Sukan SEA nanti. Kami juga sedang merangka persiapan untuk Kejohanan Dunia Remaja (JWC) hujung tahun ini, jadi mereka (senior) boleh membantu," katanya.

Skuad kendalian Muhammad Amin Rahim itu kini berada di Perth, Australia, bagi mengharungi aksi pemanas badan sebelum menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Kemboja bulan depan serta Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman pada 23 Mei hingga 1 Jun ini. - Bernama