'Mat Pet' libas polis dengan parang ditahan

Iklan
Gambar hiasan.

PASIR PUTEH - Seorang penagih dadah bertindak agresif dengan melibas sebilah parang ke arah anggota polis yang cuba menahannya di Kampung Bukit Merbau, Selising di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi itu, suspek yang berusia 41 tahun dikatakan enggan memberikan kerjasama semasa ditahan dan telah bertindak agresif kepada sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria bagaimanapun berkata, anggota bertugas berjaya mengelak daripada terkena libasan parang tersebut.

"Suspek kemudiannya telah berjaya diberkas setelah berlaku pergelutan di antara suspek dan anggota serbuan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan terhadap beg silang yang berada di tubuh suspek telah menjumpai 150 biji pil kuda berwarna merah dan satu botol plastik yang mengandungi hirisan daun-daun kering dipercayai dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, selain itu polis turut menemui satu botol plastik yang mengandungi cecair berwarna kuning dipercayai air ketum di lokasi kejadian.

Iklan

Ujarnya, suspek bersama barang rampasan telah dibawa balik ke IPD Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.

Zaizul Rizal memberitahu, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik dan satu rekod lampau berkaitan kes jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif methamphetamine.

"Bagi kesalahan dadah yang dirampas, kes disiasat bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Menurut beliau, satu kertas siasatan bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan juga dibuka terhadap suspek kerana telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas.