43,360 pelajar sekolah hisap rokok, vape

Iklan
Subbarow menunjukkan vape yang mengandungi nikotin yang bebas dijual di pasaran.

GEORGETOWN - Seramai 43,360 pelajar sekolah antara 1.5 juta perokok dan penghisap vape di negara ini yang mana, jumlah itu amat membimbangkan.

Jumlah itu diperoleh daripada saringan menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, daripada jumlah itu, 43,000 adalah pelajar sekolah menengah dan 341 pelajar sekolah rendah.

Menurutnya, sehingga kini, CAP menerima lebih 10 aduan daripada ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang bebas membeli vape mengandungi nikotin.

Iklan

Kata beliau, semua aduan tersebut berhubung kebimbangan ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak mereka itu selepas kerajaan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952.

"Ini kerana, anak-anak mereka bebas untuk membeli vape di kedai-kedai yang semakin banyak di pasaran. Jumlah 43,360 pelajar yang menghisap rokok dan vape bukan perkara biasa. Ia amat membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kata beliau, bukan sahaja pelajar sekolah, peratusan pelajar institut pengajian tinggi yang merokok dan menghisap vape juga membimbangkan.

"Kita berharap agar Kementerian Kesihatan (KKM) mendengar pandangan berkaitan penggunaan nikotin. Ini kerana, jika KKM terlepas pandang atau tidak mengambil endah, mungkin semakin ramai perokok dan penghisap vape di negara ini.

"Jika kerajaan bertegas bahawa nikotin akan dikenakan cukai maka rokok juga mesti dikenakan cukai," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berbangga dengan negeri Johor apabila tetap dengan keputusan mengekalkan larangan penjualan vape di negeri itu seperti yang diputuskan sejak 1 Januari 2016.

"Tahniah Johor kerana tetap dengan keputusan sejak dari 2016 lagi.

"KKM perlu memainkan peranan dalam memastikan negeri-negeri lain juga melaksanakan perkara sama. Jika tidak, akan lebih ramai perokok dan penghisap vape di Malaysia," katanya.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk e-rokok pada kadar 40 sen setiap ml.

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Sementara itu, warta dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.