PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengumumkan Petronella Douny, 36, sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B-17) negara.
Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan komitmen dan pencapaian bekas pemain kebangsaan tersebut sebagai bekas penolong jurulatih skuad Malayan Tigress B-18 pada kempen Kejuaraan AFF Wanita B-18 di Palembang, Indonesia tahun lalu.
Beliau berkata, Petronella merupakan satu-satunya jurulatih wanita Malaysia yang memiliki Lesen Kejurulatihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)/FAM A.
"Kebolehan serta kredibiliti Petronella sebagai seorang jurulatih juga boleh dilihat selepas diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad Malayan Tigress B-17 pada Kejohananan JENESYS 2022 di Okinawa, Jepun dari 17 hingga 21 Mac lepas.
"Saya berharap dengan pelantikan Petronella, ia akan membuka lembaran baharu buat bola sepak wanita negara sekali gus dapat memberi inspirasi dan motivasi untuk para wanita di luar sana berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Scott berkata, komitmen tinggi Petronella dalam arena bola sepak wanita juga dapat dilihat menerusi penglibatan berterusan terhadap pembangunan sukan berkenaan di negeri kelahirannya, Sabah.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih skuad wanita kebangsaan Soleen Al-Zoubi menganggap pelantikan Petronella sebagai permulaan yang baik bukan sahaja untuk skuad kebangsaan malah buat pertandingan domestik bola sepak wanita Malaysia.
"Saya dan Petronella sentiasa berkomunikasi serta berbincang mengenai sesi latihan serta program-program pembangunan untuk para pemain kami yang boleh dilakukan bersama.
Pengalamannya sebagai bekas pemain kebangsaan sejak 2002 hingga 2009 juga sudah tentu dapat membantu beliau dalam membentuk pemain-pemain muda di dalam skuadnya.
"Besar harapan saya untuk melihat lebih ramai lagi jurulatih terdiri daripada wanita mengendalikan pasukan di dalam negara,” ujar Soleen.