SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan langkah interim dengan meminda peraturan sedia ada seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) untuk memulakan kawal selia ke atas industri vape.
Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, langkah itu akan memastikan kawalan dapat dilaksanakan dengan segera ke atas produk vape.
Beliau memberi contoh antaranya tiada penjualan produk kepada individu bawah umur 18 tahun, pematuhan kepada ketetapan spesifikasi dan piawaian produk, membendung penyalahgunaan produk, serta kawalan ke atas aktiviti penjualan dan pemasaran.
"Sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan ini, industri vape masih tidak berpeluang untuk berbincang dengan KKM berkenaan butiran kawal selia. Perbincangan bersama industri diperlukan agar peraturan yang akan diperkenalkan mengambil kira keperluan dan data terkini daripada industri,” katanya pada Rabu.
Pada sidang Parlimen pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan KKM berhasrat membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang dijangkakan pada bulan Mei 2023.
Menurut beliau, kerajaan akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok.
Tambah Adzwan, ia adalah langkah yang tepat dan amat diperlukan supaya industri vape dapat dikawal selia.
"Ini adalah langkah permulaan untuk membolehkan peraturan diperkenalkan ke atas industri dan kami menyokong sepenuhnya langkah yang diambil kerajaan.
"Bagaimanapun, RUU tersebut masih memerlukan perincian dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk industri seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semalam," ujarnya.
Beliau turut berpendapat sekiranya ia dapat dibentangkan dan diluluskan di sesi Parlimen akan datang, RUU baharu hanya akan tersedia paling awal dalam bulan Ogos manakala peraturan-peraturan berkaitan diperkenalkan pada akhir tahun nanti.
"Oleh itu, langkah interim perlu dilakukan sambil menunggu RUU baharu dibentang di Parlimen," ujarnya.