SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Uzbekistan menyasarkan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia melawat negara tersebut pada tahun ini.
Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov berkata, meskipun jumlah itu tinggi, namun usaha dalam mempromosikan negara itu akan dipertingkatkan termasuk menambah jumlah penerbangan.
"Kami mempunyai dua penerbangan seminggu, jadi kami ingin meningkatkan jumlah ini dengan bantuan syarikat penerbangan Malaysia dan syarikat penerbangan Uzbekistan,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Menjawab mengenai jumlah pelancong dari Malaysia ke negara itu sebelum ini, Ravshan berkata, bilangan itu berkembang pesat setelah Uzbekistan memperkenalkan dasar bebas visa pada 2017 kepada Malaysia dan juga 93 negara lain.
Tambah beliau, pada 2017, serami 1,500 pelancong Malaysia yang datang ke negara tersebut manakala 2018 melebihi 3,000 pengunjung iaitu mencatatkan pertumbuhan sehingga 100 peratus.
Jelasnya, pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, Uzbekistan telah menerima kunjungan pelancong Malaysia hampir 6,000 orang.
"Pertumbuhan melonjak dan malangnya wabak (Covid-19) datang ke dunia. Jadi sekarang kita perlu ambil semula momentum tersebut untuk pelancong datang ke Uzbekistan,” ujarnya.
Tambah beliau, purata sehingga 15,000 warga Uzbekistan melancong ke Malaysia setiap tahun dan majoritinya akan melawat ke Langkawi.
"Kenapa Langkawi? Ini kerana kami tidak mempunyai laut di Uzbekistan. Pelancong kami apabila mereka ke luar negara, mereka ingin berada sedekat mungkin dengan laut,” ujarnya.
Menurut Ravshan, antara usaha yang telah dilakukan pihaknya bagi memperkenalkan negara tersebut kepada warganegara Malaysia adalah termasuk mengadakan pameran di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur pada 1 Mac sehingga 27 April lepas.
Beliau turut menyeru kepada penduduk Malaysia yang berminat dengan Tamadun Islam dan sejarah untuk menganggap Uzbekistan sebagai destinasi percutian yang seterusnya.
"Uzbekistan dikenali sebagai buaian tamadun Islam, kenapa kita berkata begitu kerana ramai ulama Islam dan Imam terkemuka lahir di sini seperti Imam al Bukhari dan Imam Al-Tirmidhi.
"Kami juga mempunyai banyak tawaran dari segi sejarah, seni bina dan agama, kami mempunyai lebih daripada 8,400 monumen bersejarah dan empat bandar yang merupakan bandar lengkap yang ditetapkan sebagai dunia Unesco. Tapak Warisan iaitu Bukhara, Shakhrisyabz, Itchan Kala dan Samarkand,” katanya.
Ravshan menambah, jemaah umrah juga boleh menganggap Uzbekistan sebagai destinasi perhentian selepas selesai mengerjakan ibadah mereka untuk belajar dan mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang sejarah Islam.