EJEN bola sepak Asia, Myeongho Jeong menempelak tindakan Kelantan FC merehatkan pengendali pasukan itu, Choi Moon-sik tanpa sebarang budi bicara.
Jeong dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya leo_jeong10 mendakwa, tindakan itu seperti sudah dirancang dan pemilihan pemain untuk perlawanan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan Moon-sik.
"Dalam perlawanan hari ini juga, ketua jurulatih tidak dapat memilih pemain. Majikan dan pengarah teknikal telah pun memilih 11 pemain terbaik tanpa berunding dengan ketua jurulatih.
"Ketua jurulatih sangat kecewa dan tidak turun ke padang perlawanan serta pasukan telah merehatkan beliau tanpa sebarang permohonan maaf," katanya.
Menurut beliau, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak media dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mengenai perkara ini.
Ujarnya, Kelantan FC hanya cantik daripada luaran namun tidak profesional.
Jeong memberitahu, beliau sememangnya sayang dan hormati bola sepak Malaysia serta penyokong.
Jeong mendakwa pemain-pemain Kelantan FC sudah dua bulan tidak menerima gaji.
Dakwanya, semasa perlawanan sukar di tempat lawan mereka terpaksa melalui perjalanan lebih 10 jam menaiki bas tanpa makan.
"Semuanya seperti sebuah pasukan amatur, tetapi barisan jurulatih telah melakukan yang terbaik," katanya.