SHAH ALAM - Rakyat Malaysia terutamanya anak muda perlu menolak sentimen perkauman dan agama, apatah lagi menggunakannya tanpa fakta serta data.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, sentimen itu hanyalah pandangan mereka yang mindanya tertawan.
Menurutnya, semua pihak sepatutnya menjadi agen membawa kasih sayang dalam kehidupan bernegara serta berganding bahu membangunkan Malaysia Madani yang bertoleransi, berkeadilan dan bersatu padu.
"Sebagai pelajar politik, saya menolak politik perkauman dan impikan bangsa Malaysia yang bersatu. Saya bosan dengan naratif politik yang menimbulkan kebencian sesama kita," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel daripada Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bertajuk Empangan Murtad Bakal Pecah.
Artikel itu antara lain menyatakan sejak kebelangan ini kedudukan Islam terancam kerana berikutan beberapa kes yang melibatkan kepentingan Islam telah difailkan di mahkamah.
Menurut artikel itu, sekiranya tuntutan berjaya, ia bakal menyaksikan semua mualaf yang diIslamkan melalui prosedur dan enakmen-enakmen yang dicabar tersebut akan dimurtadkan secara besar-besaran.
Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, artikel berkenaan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
"Statistiknya tidak dinyatakan. Berapa kes mahkamah? Apakah yang kerajaan atau bukan Melayu telah buat sehingga Islam dikatakan terancam?
"Tajuk empangan pecah pun menakutkan, digunakan semata-mata untuk membangkitkan emosi perkauman supaya orang Melayu menolak kerajaan sekarang yang didakwa tidak menjaga kepentingan Melayu dan Islam,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu terdapat pihak menggunakan isu perkauman untuk menakutkan etnik majoriti Melayu dengan mendakwa bangsa dan agama mereka terancam.
"Sentimen sebegini jika diratibkan boleh menimbulkan ketegangan kaum. Negara kita telah melalui tragedi akibat ketegangan kaum ini seperti dalam peristiwa 13 Mei 1969, Memali 1985 dan Operasi Lalang 1986.
"Apakah kita mahu tragedi hitam politik negara tersebut berulang lagi? Tentunya tidakkan?” soalnya.