SAM kecewa cara Teong Kim santuni petugas media

Iklan
Norismadi. Foto Agensi

PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menzahirkan kekecewaan terhadap cara ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim menyantuni petugas media selepas tamat aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh pada malam Selasa.

Presidennya, Norismadi Abd Manap berkata, Teong Kim seorang jurulatih yang memiliki pengalaman luas di Eropah, namun bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan mudah yang dilontarkan penolong penerbit stesen televisyen swasta kepadanya sejurus perlawanan tamat.

Iklan
Iklan

"Janganlah menjadikan media sebagai tempat untuk melepaskan geram kerana kami tidak mencampuri sebarang urusan dalam pasukan anda dan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi," katanya.

Norismadi berkata, media berperanan untuk menyampaikan maklumat dan tidak seharusnya menerima layanan seperti diberikan bekas Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu.

Iklan

Dalam pertembungan di Ipoh pada malam Selasa, JDT membelasah Perak 5-0 sekali gus menyaksikan anak buah Teong Kim mencatat kekalahan ketiga berturut-turut.

Kekalahan besar itu dilihat mempengaruhi emosi Teong Kim yang menunjukkan reaksi kurang mesra terhadap penolong penerbit bertugas semasa sesi temu bual yang disiarkan secara langsung selepas perlawanan, termasuk meminta pengamal media berkenaan melakukan penilaian serta mencari jawapan sendiri berhubung soalan yang diberikan.

Iklan

Perak ketika ini berada di kedudukan ke-10 dengan mengumpul lima mata selepas hanya berjaya merakam satu kemenangan dan dua seri dalam keseluruhan tujuh perlawanan. - Bernama