Permohonan Irwan, Arul batal saman 1MDB didengar 24 Julai

Iklan
Arul Kanda.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu menetapkan 24 Julai ini untuk mendengar permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy bagi membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion.

Peguam Brendan Siva, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua defendan (Mohd Irwan dan Arul Kanda) memfailkan afidavit tambahan bagi permohonan mereka untuk meminda pernyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Mei ini serta memfailkan hujahan tambahan untuk permohonan pembatalan saman sekiranya ada pada tempoh masa yang sama (31 Mei),” katanya.

Prosiding itu turut dihadiri peguam K. Lavinia mewakili Mohd Irwan manakala peguam K. Gobinath bertindak bagi pihak Arul Kanda.

Iklan

Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Feb 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1.83 bilion dan US$3.5 bilion.

Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung 1MDB hasil penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

Iklan

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. - Bernama.