Suri rumah trauma, kereta dibaling batu

Iklan
Keadaan kereta yang dipandu Nurcahaya yang berdepan detik mencemaskan selepas dibaling batu di jalan Mempaga dekat Lurah Bilut pada Ahad lalu.

BENTONG - Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila cermin hadapan keretanya pecah selepas dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab di Jalan Mempaga, dekat Lurah Bilut pada Ahad.

Nurcahaya Jaafar, 35, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, dia sedang memandu kereta jenis Perodua Viva bersama suami serta dua anaknya berusia enam tahun dan tujuh bulan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Mempaga selepas berbuka puasa di rumah keluarganya di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu.

"Memang situ semua laluan gelap dan ketika dalam perjalanan pulang saya ternampak banyak ketulan batu-batu putih di tengah jalan.

Iklan

Timbunan batu-batu di laluan tersebut


"Waktu itu juga saya nampak kelibat orang yang membaling dari arah kiri dan kanan dan disyaki mereka gunakan lastik dalam jarak dekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Nurcahaya lagi, walaupun ketakutan, dia meneruskan perjalanan dan segera membuat panggilan kepada ahli keluarga lain sebaik tiba di rumah.

Iklan

"Bila mereka ke lokasi kejadian, memang jumpa banyak batu tapi tak jumpa pelaku.

"Memang menangis dan meraung dibuatnya malah anak yang di bahagian penumpang depan trauma, terbawa-bawa dalam mimpi tak nak pergi sekolah.

"Walaupun sedih sebab kereta rosak, lagi-lagi nak raya tapi saya bersyukur kerana tidak melibatkan sebarang kecederaan," jelas wanita itu.

Berkongsi pengalaman mencemaskan di laman sosial Facebook, Kami Penduduk Bentong (Official), dia memberitahu ramai mangsa telah berkongsi insiden tersebut di lokasi sama.

Dia juga berharap pihak berkuasa segera bertindak dan menangkap pelaku tidak bertanggungjawab tersebut supaya tiada lagi yang menjadi mangsa dan berdepan pengalaman mencemaskan sepertinya lagi.