KUANTAN - Kebanyakkan peniaga bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga jualan susulan kenaikan kos bahan mentah, namun seorang lelaki masih mampu menjual air balang dengan harga Rahmah.
Di beberapa bazar di sekitar daerah ini menjual air balang antara RM3 hingga RM4 untuk cawan manakala RM5 untuk plastik, bagaimanapun Mohammad Ariffuddin Marzuki, 30, hanya menjualnya dengan harga RM2 untuk satu plastik.
Mohammad Ariffuddin berkata, dia mengambil contoh peniaga di Kelantan yang masih menjual makanan dan minuman dengan harga murah walaupun bahan yang digunakan tetap sama.
"Pada masa sama pembeli juga tidak terbeban kerana air balang saya jual lebih murah daripada harga biasa," katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak di hadapan kolam memancing Kail Life Seberang Balok pada Rabu.
Mohammad Ariffuddin memberitahu, ini kali pertama dia berniaga pada bulan puasa kerana sebelum ini dia bekerja di Korea dan pulang ke tanah air pada Oktober tahun lalu.
"Setakat ini saya menjual lapan jenis air balang antaranya laicikang, bandung cincau, mangga, jambu batu, asam boi dan asam masin malah bercadang menambah dua lagi menu baharu dalam masa terdekat.
"Sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan apabila setiap hari air habis terjual dengan anggaran 250 hingga 300 bungkus sehari,” katanya yang turut dibantu adiknya, Mohamad Arif Asyraf, 18.
Tambahnya, pada awalnya dia bercadang mahu menjual air balang dan kuih muih namun perancangan untuk menjual kuih tidak kesampaian dan mungkin akan dibuat pada masa akan datang.
"Niat saya berniaga bukan untuk jadi kaya sebaliknya hanya untuk meneruskan hidup dan dengan cara menjual murah sekurang-kurangnya saya dapat membantu masyarakat yang sedia terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” ujarnya.