BAITULMAQDIS - Ketegangan kembali memuncak di Baitulmaqdis selepas insiden pertempuran tercetus di Masjid al-Aqsa pada awal pagi Rabu ketika memasuki fasa pertengahan bulan Ramadan.
Insiden itu tercetus apabila polis Israel bertindak biadab menyerbu masjid ketiga paling suci orang Islam tersebut atas alasan mahu mengusir 'pengacau'.
Menurut jurucakapnya, beberapa 'pengacau' itu cuba bersembunyi di dalam al-Aqsa beberapa jam selepas solat tarawih selesai dengan niat untuk mengganggu ketenteraman awam.
"Kami sudah cuba berunding, namun tidak berhasil. Akhirnya, kami terpaksa bertindak tegas," katanya.
Tindakan itu dikutuk Hamas yang kemudiannya membedil sembilan roket dari Genting Gaza, namun rejim Zionis melancarkan tindak balas melalui serangan udara menyasarkan dua kemudahan membuat senjata milik gerakan tersebut.
Di Genting Gaza, ratusan penunjuk perasaan berarak sambil melaungkan slogan mahu mempertahankan dan melindungi al-Aqsa.
Hamas turut menggesa penduduk Palestin di Tebing Barat supaya berhimpun di al-Aqsa untuk mempertahankan masjid tersebut.
Keganasan mencemari kesucian bulan Ramadan menjelang Hari Paskah yang disambut bermula pada petang Rabu selepas pelampau Yahudi bercadang mahu mengadakan upacara penyembelihan haiwan di pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) yang jelas melanggar status quo.
Ketika insiden pertempuran ganas itu, lebih 350 individu turut ditahan polis Israel ketika kumpulan tersebut cuba menghalang kemaraan mereka dengan membaling batu dan melemparkan mercun.
Menteri Hal Ehwal Awam Palestin, Hussein al-Sheikh dalam satu kenyataan menyelar tindakan kekerasan melampau polis Israel di Haram al-Sharif.
"Kelakuan kejam mereka memerlukan respons segera negara Arab dan komuniti antarabangsa," tegasnya. - AFP