SHAH ALAM - Kerajaan mengambil langkah tepat dalam mengawal selia produk vape dengan memperkenalkan cukai ke atas produk itu dan mengecualikan e-cecair vape yang mengandungi nikotin sebagai bahan terkawal.
Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, semua pihak perlu melihat perkara itu secara objektif kerana selama ini, produk vape dengan nikotin boleh didapati secara meluas untuk dijual di Malaysia walaupun terdapat larangan di bawah Akta Racun.
Menurutnya, langkah kerajaan itu bagi membolehkan kawalan ke atas produk vape sementara menunggu rang undang-undang baharu dibentangkan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
"Mengekalkan e-cecair nikotin di bawah Akta Racun telah terbukti tidak berkesan dan semua pihak harus menyokong kerajaan dalam mengambil langkah untuk mengawal selia produk.
"Walaupun kerajaan telah menyatakan bahawa rang undang-undang baharu akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang pada akhir Mei 2023, MVA berpendapat bahawa meminda peraturan sedia ada seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 adalah penyelesaian segera kepada situasi semasa kerana tiada wujud kawalan untuk mengawal bahan dalam cecair vape,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Khairil Azizi, dengan pindaan yang dibuat kepada undang-undang sedia ada di bawah kuasa yang diberikan kepada menteri kesihatan, industri akan mempunyai hala tuju yang jelas mengenai piawaian keselamatan dan kualiti yang perlu mereka patuhi.
Pengguna juga katanya, akan mempunyai keyakinan apabila mengetahui bahawa mereka mengakses produk terkawal.
"Meminda peraturan tembakau sedia ada untuk memasukkan produk vape juga akan membolehkan langkah segera diambil untuk mengelakkan produk daripada jatuh ke tangan golongan bawah umur.
"MVA sangat percaya bahawa peraturan perlu menyeimbangkan antara memastikan produk vape tidak dipasarkan atau dijual kepada golongan muda dan boleh diakses oleh perokok yang ingin beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.
"Oleh itu dengan peraturan yang betul, MVA percaya vape akan dapat membantu Malaysia mengurangkan kelaziman merokok di negara ini,” ujar beliau.