ARAU - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kebolehpasaran graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ditingkatkan melebihi tahap semasa iaitu 90 peratus.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketika ini terdapat 280 institusi TVET di bawah KKDW serta agensi kementerian itu dan ada antara bidang terlibat, termasuk berkaitan penyelenggaraan kapal terbang, telah mencapai 98.4 peratus tahap kebolehpasaran graduan.
"Inilah yang mahu kita buktikan kepada masyarakat bahawa pelaburan yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui TVET khususnya di bawah KKDW akan memberikan keberhasilan yang baik," katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW, di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid berkata, permintaan terhadap graduan TVET kini terus meningkat, malah ada graduan yang memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding pekerja dalam bidang bukan teknikal dan kemahiran.
Beliau berkata, ramai teknokrat dari negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga datang daripada bidang TVET.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, masyarakat perlu sedar mengenai kepentingan TVET dan ia tidak harus dijadikan pilihan kedua bagi para pelajar yang tidak memperoleh pencapaian baik dalam bidang akademik.
Tambah beliau, pelajar yang memasuki bidang TVET turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada diploma, ijazah dan doktor falsafah (PhD), bagi menambah kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran mereka. - Bernama.