DUA gol pada separuh masa pertama sudah memadai buat Sri Pahang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan selepas membenam PDRM 2-1 pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Kejayaan Sri Pahang mengutip tiga mata bukan sahaja mengubat kekecewaan Sabtu lalu selepas seri 1-1 menentang KDA FC di laman sendiri, malah membolehkan skuad Tok Gajah memintas Sabah di tangga keempat dengan kelebihan jaringan selepas berkongsi 13 mata.
Pemain sayap, Muhd Baqiuddin Shamsudin membuka tirai jaringan skuad bimbingan Fandi Ahmad pada minit ke-18 selepas menjaringkan gol pertamanya musim ini sebelum penyerang Kpah Sherman menggandakan kedudukan empat minit kemudian sekali gus meledak gol keempatnya musim ini.
PDRM yang melakar dua kemenangan berturut-turut sebelum ini, bangkit merapatkan defisit jaringan pada separuh masa kedua menerusi tandukan James Okwuosa pada minit ke-76, namun gagal memburu gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Pada masa sama, KDA FC turut meraih tiga mata berharga biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas mengatasi Penang 1-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Layangan kad merah kepada Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada minit ke-53 susulan mengutip dua kad kuning tidak menjejaskan rentak pasukan yang berjaya menemui jaringan kemenangan pada minit ke-64 menerusi rembatan leret Wiliam Lira Sousa yang menewaskan Muhammad Azfar Arif Mohd Shukri di gawang.
Kejayaan itu menyaksikan Kedah Darul Aman naik ke posisi kedua, berkongsi 16 mata bersama Selangor di kedudukan ketiga, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.
Sementara itu, Kuala Lumpur City FC meraih kemenangan sulung musim ini selepas mengatasi Sabah 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sekali gus menyaksikan skuad Sang Badak mengalami kekalahan kedua berturut-turut.
Dua gol skuad bimbingan Bojan Hodak masing-masing djaringkan pemain tengah T Saravanan pada minit ke-15 dan pemain gantian Sean Giannelli pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Di Stadium Negeri, Kuching, jaringan pada masa kecederaan babak kedua pemain Kelantan United, Asraff Aliffuddin Yasin menafikan gol pembukaan Sirojiddin Kuziev pada minit ke-52 sekali gus menyekat hasrat Kuching City meraih tiga mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1. - Bernama