NEGERI Sembilan FC memerlukan tambahan pemain import bagi memastikan skuad Rusa mampu berdaya saing dengan pasukan besar Liga Super selepas tunduk 1-2 kepada Selangor FC dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya.
Malah pengendali Negeri Sembilan, K Devan berkata, pemain Hoben Jang Hoben telah berusaha menyaingi Selangor kendalian Tan Cheng Hoe yang tampil dengan aksi lebih baik dalam perlawanan tersebut.
"Separuh masa pertama kami menyerang dan bertahan dengan baik serta menjaringkan gol menerusi set pieces.
"Sehingga saya terpaksa mengeluarkan Safuwan Baharudin walaupun dia masih boleh bermain lagi, selain Levy Madinda dan Casagrande dikeluarkan apabila saya memikirkan perlawanan-perlawanan selepas ini.
"Kualiti import memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan terutamanya dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti menentang Selangor,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Sebagai rekod, Negeri Sembilan menggunakan khidmat lima pemain import - Herold Goulon, Casagrande, Safuwan Baharudin, Levy Madinda dan Vinicius Leonel bagi saingan musim ini.
Ditanya mengenai perancangannya pada jendela perpindahan pemain selepas ini, Devan menyerahkan perkara itu kepada pengurusan kelab.
"Secara peribadi situasi sekarang memerlukan pemain lokal untuk bekerja lebih keras yang saya bimbang pemain tidak mampu bertahan sampai hujung musim.
"Sekiranya berlaku loading terlalu banyak ia bakal mengundang risiko kecederaan kepada pemain-pemain yang akhirnya tidak mampu mengakhiri saingan musim ini.
"Situasi sekarang masih awal musim lagi itulah yang kita memerlukan skuad yang lebih besar bagi melakukan penggiliran untuk merehatkan pemain,” katanya.
Mengenai status Vinicius Leonel yang masih belum berada dalam kesebelasan utama, Devan memaklumkan pemain pertahanan itu masih belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan bersama pasukan Negeri Sembilan.
"Vinicius Leonel hadir pada tahap kecergasan yang kurang memuaskan sebelum ini.
"Namun kini sudah cergas, tetapi masih memerlukan perlawanan persahabatan berintensiti tinggi sebelum diturunkan dalam perlawanan sebenar,” katanya