Nak jual baju RM1 boleh, tapi kenalah ada sistem!

Iklan
Gambar hiasan 123RF

CUBA beritahu, siapa yang tak mahu baju raya berharga RM1? Dalam keadaan masyarakat sedang pening kepala dengan kos hidup meningkat, kalau dapat baju raya percuma memang kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Sebab Itulah Merak Jalanan tak terkejut pun insiden kekecohan yang berlaku di sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam pada Sabtu lepas.

Iklan
Iklan

Premis jenama popular itu diserbu lebih 500 pengunjung selepas mereka melakukan promosi baju Melayu berharga RM1.

Merak Jalanan tengok dalam media sosial, ramai betul yang berkongsi video orang ramai bertolak-tolak dan berebut-rebut nak masuk ke kedai sampai pihak pengurusan terpaksa menutup operasi seawal jam 11.45 pagi.

Iklan

Sebenarnya tak salah pun nak buat promosi gempak macam ini, tapi kena berpada-pada dan dilaksanakan dengan bersistematik.

Apabila sudah diuar-uarkan harga baju berjenama terkenal jatuh kepada RM1 sahaja, penganjur kena bersedia dengan sebarang kemungkinan. Bukan sahaja stok kena cukup, kena pastikan kawalan keselamatan pun di tahap terbaik.

Iklan

Maklum saja, orang Malaysia ini jangan kata harga baju RM1, kalau ada jualan murah potongan 50 peratus pun sanggup beratur panjang dari awal pagi, malah ada yang datang dari jauh.

Tambah-tambah dalam bulan Ramadan dengan cuaca terik di sebelah tengah hari, lapar dan dahaga pula menguasai, memang tahap kesabaran boleh menipis.

Jadi Merak Jalanan nak ingatkan pengusaha pakaian, makanan atau apa sahaja jenis produk agar berhati-hati sewaktu membuat promosi dan jangan sesekali kelirukan pembeli.

Kalau betul nak bagi harga murah, pastikan stok produk banyak dan paling penting buat sistem bernombor agar pembeli yang datang lebih awal diberi keutamaan.

Sama-samalah kita jaga kita dalam situasi hidup serba mencabar ini!