SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penggunaan pembesar suara masjid sepatutnya dibolehkan untuk laungan azan dan iqamah sahaja.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, jika kariah bebas menggunakan pembesar suara untuk aktiviti masjid yang lain, ia dikhuatiri mengganggu komuniti setempat.
"Untuk Pulau Pinang kita tidak wartakan, ia terpulang pada budi bicara kariah masjid atau surau tetapi seboleh-bolehnya pembesar suara luar masjid digunakan hanya untuk laungan azan dan iqamah kerana itu sebagai lambang Islam.
"Kita nak beribadat buat apa kita ganggu orang, dia tidak datang ke masjid kerana tidak bersedia untuk dengar tazkirah, ceramah dan sebagainya.
"Kalau dia nak datang ke masjid kita benar dia guna pembesar suara dalam,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Wan Salim berkata, sepatutnya tidak timbul soal dahulu kenapa boleh guna pembesar suara luar untuk mengaji, ceramah tetapi sekarang tidak boleh.
"Suasana berubah, fatwa juga kena berubah. Walaupun Pulau Pinang tidak gazetkan, cuma kita nasihatkan kariah-kariah tidak menggunakan pembesar luar untuk aktiviti lain selain azan dan iqamah.
"Ini kerana kita ada terima aduan daripada penduduk berdekatan dengan masjid atau surau ada orang sakit, warga emas uzur, anak-anak kecil, orang nak berehat balik kerja dan pelajar hendak ulangkaji pelajaran, jadi ada rungutan itu.
"Jadi kita tidak boleh ikut semangat kita sahaja, kena ambil kira suasana yang sekarang. Berbeza di kampung dulu antara masjid dengan rumah jauh-jauh, jadi sebelum subuh nak baca al-Quran dan sebagainya untuk guna pembesar suara luar tidak jadi masalah.
"Tapi sekarang di bandar, kawasan perumahan begitu hampir dengan masjid jadi kena fahamlah jika keadaan dan situasi berubah, fatwa juga boleh berubah,” ujarnya.