Rokok dan vape: Kenapa susah sangat nak bertegas?

Iklan
Gambar hiasan 123RF

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Parlimen kelmarin bahawa kerajaan tidak akan mengambil tindakan ekstrem untuk mengawal selia semua produk rokok, termasuk mengharamkan vape, pastinya menimbulkan pelbagai reaksi.

Menurut Perdana Menteri, tindakan mengharamkan dua produk berkenaan tidak akan membendung masyarakat daripada meneruskan tabiat mereka selain ia tidak mampu dilaksanakan oleh mana-mana negara di dunia.

Iklan
Iklan

Keputusan ini pasti menjadi berita gembira kepada perokok dan penghisap vape tegar. Namun, golongan profesional terutama doktor perubatan dan masyarakat yang prihatin dengan kesihatan diri, sudah pasti kecewa. Mengapa terlalu sukar untuk kerajaan bertindak tegas, sedangkan keburukan rokok dan vape ini sudah nyata?

Persatuan Perubatan Malaysia sebelum ini menggesa Kementerian Kesihatan mengkategorikan perokok sebagai kumpulan berisiko tinggi. Kajian juga mendedahkan bahawa penggunaan rokok elektronik termasuk vape pada satu jangka masa panjang memberi kesan kepada penyakit kardiovaskular.

Iklan

Cadangan kerajaan untuk sekadar mengadakan kempen advokasi kesedaran bagi menolak rokok dan vape adalah terlalu biasa dan tidak sesuai lagi di zaman ini.

Tindakan mengenakan cukai tinggi agar harga kedua-dua produk itu lebih mahal dan sukar dimiliki juga tidak meninggalkan apa-apa kesan. Mereka yang sudah ketagih rokok dan vape tidak pandang walau sebelah mata pun terhadap sebarang kempen kesedaran atau harga yang melambung.

Iklan

Lebih menyedihkan, ketagihan terhadap rokok dan vape juga menyebabkan mereka menolak tepi rasa malu dan jati diri. Tanpa memikirkan orang lain, perokok dan penghisap vape selamba ‘berasap’ di tempat awam terutama restoran yang ada kanak-kanak, wanita mengandung juga orang tua, malah di depan komputer dalam pejabat tanpa rasa bersalah.

Mengapa kerajaan kita tidak boleh bertegas seperti negara jiran Singapura dan Thailand yang mengharamkan vape serta melaksanakan penguatkuasaan tegas kepada perokok?

Benar kita tidak berupaya mengharamkan sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya melaksanakan undang-undang yang lebih keras.

Mungkin kerajaan perlu kembali tegas terhadap larangan merokok atau menghisap vape di premis makanan, juga di tempat kerja dengan mengenakan denda maksimum sekiranya tidak dipatuhi.