GEORGETOWN - Seramai 7,078 penjawat awam Pulau Pinang bakal menerima bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,500 sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain anggota perkhidmatan awam negeri, penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina Pulau Pinang turut menerima BKK sebanyak RM300.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pembayaran BKK itu akan dibuat pada 17 April ini.
"Menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung pada Rabu, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju meluluskan bayaran BKK sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri.
Kata Kon Yeow, pemberian bantuan tersebut membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada Kerajaan Pulau Pinang.
"Selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK ini juga sebagai tanda penghargaan Kerajaan Pulau Pinang kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri.
"Penghargaan ini atas sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara," katanya.