Malaysia kutuk serangan Israel terhadap Masjid Al- Aqsa

Iklan
Wisma Putra.

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Khamis, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta kesucian masjid itu.

Iklan
Iklan

"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan mereka segera membebaskan semua tahanan Palestin," menurut kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera dan ratusan yang lain telah ditahan.

Iklan

Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel untuk segera menghentikan sebarang tindakan provokatif demi keamanan dan kestabilan.

Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Iklan

Tentera Israel pada Rabu menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin.

Menurut laporan media, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli selepas solat tarawih, melepaskan bom tangan dan memukul jemaah Palestin.

Terdahulu, pada awal Rabu, polis Israel menyerang penduduk Palestin di dalam dewan solat dan menahan kira-kira 350 jemaah. - Bernama