PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bacaan Pertama Rang undang-undang (RUU) Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi pindaan Seksyen 15 dan 16 di Parlimen dijangka diadakan pada hujung tahun ini.
Bagaimanapun Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bergantung kepada akta-akta lain yang sedang menunggu giliran untuk dibentangkan.
Menurutnya, draf RUU itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pertengahan Jun depan untuk dipersetujui.
"Kita sekarang dalam fasa terakhir bagi memurnikan ayat-ayat," katanya ketika sidang akhbar selepas selesai dialog awam AUKU di Kementerian Pengajian Tinggi di sini pada Khamis.
Menurutnya, pindaan terhadap Seksyen 15 dan 16 AUKU 1971 akan memberi kebebasan kepada mahasiswa termasuk pendanaan.
Beliau berkata, mahasiswa juga tidak mempunyai kemampuan untuk mengadakan aktiviti kerana ketiadaan sumber kewangan selain wang tidak mencukupi.
"Memandangkan perkara ini melibatkan mahasiswa yang saya percaya kita boleh atasi lebih-lebih lagi ini merupakan salah satu cara bagi kementerian untuk membangunkan kematangan," katanya.
Mohamed Khaled berkata, apabila RUU itu diluluskan, mahasiswa menjadi lebih bertanggungjawab.
"Mereka akan menguruskan dan menjaga kewangan sendiri serta bebas menganjurkan apa-apa aktiviti atau program," katanya.
Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, walaupun kerajaan memaklumkan bahawa AUKU 1971 tidak akan dimansuh, namun beberapa peruntukan dalam akta itu yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan.
Akta AUKU telah melalui tujuh kali pindaan sebelum ini iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan 2019 setelah ia diluluskan pada 1971.
Sementara itu, mengulas mengenai peningkatan jangkitan Covid-19 kluster Pendidikan, Mohamed Khaled berkata, institut pengajian tinggi di bawahnya sentiasa mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).