BUTTERWORTH - Tindakan lima pasangan yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam membawa padah apabila mereka ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) di sekitar kawasan Pantai Bersih di sini, lewat malam Rabu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd Azizon Noordin berkata, kesemua mereka ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan 10 pegawai penguat kuasa bermula jam 11 malam di kawasan tumpuan ramai itu.
Menurutnya, pemeriksaan dibuat berikutan aduan dan rungutan pengunjung lain yang rimas dengan gelagat tidak bermoral yang dilakukan pasangan berkenaan.
"Ketika pemeriksaan dibuat mendapati ada di antara mereka yang berpelukan di dalam kenderaan, duduk berdua-duaan di tepi pantai dalam keadaan mencurigakan tanpa sebarang ikatan perkahwinan yang sah.
"Apa yang lebih mengecewakan mereka langsung tidak menghormati bulan Ramadan dengan memberikan pelbagai alasan kononnya hanya duduk di sini untuk melihat pemandangan serta hanya bersembang tanpa melakukan apa-apa," katanya ketika ditemui di lokasi pemeriksaan pada Khamis.
Mohd Azizon berkata, kesemua mereka diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang bagi siasatan lanjut.
Katanya, 10 individu berkenaan yang berusia di antara 20 hingga 25 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
Bagi kesalahan itu, pasangan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.