MELAKA - Seorang peniaga roti john di Bazar Ramadan Peringgit di sini, masih mengekalkan harga makanan itu RM5 meskipun terkesan dengan kenaikan harga barang mentah.
Muhammad Tarmizi Mohd Nasir, 40, berkata, walaupun keuntungannya tidak banyak, namun sekurang-kurangnya jualan lebih 200 keping roti john setiap hari mampu memberikan pulangan modal kepadanya selain membayar gaji dua orang pembantu.
Menurutnya, secara tidak langsung dapat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan memandangkan pelanggannya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan B40.
Katanya, kerana harga 'marhaen' yang dikekalkan sejak tahun lalu, gerai jualannya sentiasa menjadi tumpuan dan orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli roti john yang dihasilkan.
"Sebenarnya telah 20 tahun saya menjual roti john bermula dengan harga RM2.50 dan tahun lalu saya terpaksa naikkan harga dari RM4 ke RM5.
"Saya lihat yang datang ke bazar tak semua yang berkemampuan, jadi saya kekalkan harga RM5 dan kebanyakan yang datang membeli juga golongan pelajar," katanya yang menggunakan resipi Allahyarham ibunya.
Sementara itu, pembeli yang juga seorang pesara, Bakar Sulaiman, 64, berkata, kebanyakan peniaga menjual roti john berharga RM8 ke atas namun berterima kasih kepada Muhammad Tarmizi kerana masih mengekalkan harga jualannya.
"Usaha peniaga ini bagus nak membantu rakyat kerana harga murah dan berpatutan, kalau boleh dikekalkan pada masa akan datang," katanya.