SHAH ALAM - Malaysia menyeru komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk meminta Israel bertanggungjawab atas jenayah dilakukan terhadap Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat antarabangsa perlu menuntut Israel supaya menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan.
Pada Rabu, polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis mengakibatkan tujuh daripada mereka cedera sementara 200 rakyat Palestin ditahan.
Serbuan berkenaan dilakukan sebelum masuk waktu Subuh pada Rabu, dengan polis Israel mendakwa mereka bertindak balas terhadap 'rusuhan'.
Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru terhadap jemaah dan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel.
Jelasnya, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang, menghina, dan mencabuli hak asasi manusia Palestin dan kesucian kuil ketiga paling suci dalam Islam.
Kata Wisma Putra, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB supaya rejim Israel bertanggungjawab atas jenayah keji itu selain segera membebaskan semua tahanan Palestin.
Menurut kenyataan itu, sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera, dan ratusan rakyat Palestin lain telah ditahan.
"Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokatif demi kepentingan keamanan dan kestabilan.
"Malaysia terus berdiri dalam solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam," katanya.
Jelasnya lagi, Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya yang telah lama dipegang bahawa rakyat Palestin layak mendapat negara merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.