SUNGAI PETANI - Kira-kira 600 penduduk Taman Murni, Gurun yang terputus bekalan air sejak bulan lalu mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan sebelum kedatangan Aidilfitri.
Penduduk, Sabri Ramli, 63, berkata, kesukaran dihadapi penduduk ketika ini amat dirasai memandangkan kini sedang menjalani ibadah puasa.
"Selalunya tengah malam atau awal pagi air mengalir di paip sikit-sikit, bolehlah dibuat tadahan dan simpan, tetapi hari ini sudah masuk tiga hari berturut-turut tiada air langsung," jelasnya.
Sabri berkata, bekalan air melalui lori dihantar kepada penduduk dalam tempoh dua hari sekali, namun bagi yang bekerja atau tiada di rumah akan terlepas memandangkan masa penghantaran tidak menentu.
Ujar Sabri, penduduk hairan mengapa bekalan air di taman bersebelahan seperti Taman Seri Utama dan Taman Lembah Jerai tidak terjejas sedangkan kira-kira 200 buah rumah di Taman Murni kerap berdepan ketiadaan air.
Seorang lagi penduduk, Razak Abdul, 53, berkata, sudah hampir 24 tahun dia menghuni taman berkenaan, namun masalah bekalan air tetap tidak berkesudahan setiap kali musim kemarau.
"Kami sudah tanya pihak berkaitan namun tiada jawapan, sampai bila nak hadap?" katanya.
Bagi Safwan Azmi, 32, pula, masalah itu menjejaskan kegiatan harian penduduk, terutama yang mempunyai anak kecil serta warga emas.
Sementara itu, Anuar Ahmad, 60, berkata, masalah itu pernah disuarakan kepada agensi berkaitan namun hanya selesai dalam tempoh beberapa hari sahaja.
"Selepas itu, bekalan masih terganggu," dakwanya.
Jelas Anuar lagi, pengagihan bekalan melalui lori juga perlu dilaksanakan secara teratur bagi memastikan penduduk terjejas dapat menyimpan dan menggunakan air ketika berlaku kecemasan.
"Kami nak masalah ini cepat-cepat selesai," katanya.
Masalah itu telah dikemukakan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan setakat ini Sinar Harian masih menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.