UniSZA belanja 1,000 pelajar berbuka puasa setiap hari

Iklan
Fadzli (berdiri, kanan) bertanya khabar pelajar yang hadir berbuka puasa secara percuma di Masjid UniSZA. - Foto UniSZA

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyediakan 1,000 pek juadah berbuka puasa secara percuma kepada pelajarnya pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan pada setiap tahun bagi meringankan perbelanjaan pelajar khususnya dari golongan berpendapatan rendah dengan menggunakan tabung ihya Ramadan dan masjid.

Iklan
Iklan

"Kita memperuntukkan kos antara RM6,000 hingga RM8,000 sehari untuk menyediakan pek juadah berbuka kepada pelajar ini mengikut jadual menu yang telah ditetapkan.

"Pek juadah percuma ini disediakan untuk pelajar yang berbuka di Masjid UniSZA dan mereka yang berada di Kampus Perubatan dan Kampus Besut sekaligus memberi manfaat kepada 1,000 pelajar setiap hari,” katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Menurut Fadzli, kira-kira 50 sukarelawan terdiri daripada staf Pusat Islam UniSZA, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Sahabat Masjid, Sahabat Food Bank dan pelajar universiti itu bergilir-gilir bergotong-royong menyediakan juadah berbuka tersebut.

Pelajar ceria dapat menikmati hidangan berbuka puasa secara percuma di Masjid UniSZA setiap hari. - Foto UniSZA

Beliau berkata, program dikelolakan Pusat Islam UniSZA itu dapat menyemarakkan semangat kerjasama, ukhuwah antara kakitangan dan pelajar UniSZA untuk bekerja dalam satu pasukan bagi menyediakan masakan untuk berbuka puasa.

Iklan

Sementara itu pelajar Ijazah Sarjana Muda (ISM) Bahasa Arab, Umar Baihaqi Harun, 23, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kerana UniSZA sudi menyediakan juadah percuma sepanjang Ramadan sekali gus meringankan bebannya untuk membeli juadah berbuka.

Rakan sekuliahnya, Muhammad Faris Irfan, 23, pula berharap agar program itu diteruskan setiap tahun untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

"Selain dapat berbuka percuma, program ini juga dapat mendorong kami semua mendekati masjid dan beribadah bersama-sama”, katanya.