KOTA BHARU - Syarikat bas terkemuka, Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) memperketatkan pemantauan disiplin 150 pemandu yang bertanggungjawab membawa pulang perantau ke destinasi masing-masing untuk berhari raya.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, operasi pemantauan itu akan berkuat kuasa sepanjang 24 jam setiap hari bermula pada 14 April sehinggga 30 April ini.
"Rutin biasa pemantauan bas ekspres dilakukan bermula jam 7.30 pagi sehingga 1.30 pagi tetapi khas untuk Aidilfitri, kami akan memantau sepanjang masa menerusi empat kakitangan.
"Kami juga memperkemaskan Sistem Pengurusan Kenderaan dan rakaman kamera litar tertutup mengesan perlakuan pemandu semasa memandu bas,” katanya kepada sidang akhbar selepas Penyampaian Zakat dan Biskut Raya kepada 300 penerima asnaf dan anak yatim di Ibu Pejabat E-Mutiara di Panji, di sini, pada Khamis.
Che Ibrahim berkata, pihak syarikat juga dalam usaha menambah dua lagi bas dua tingkat sepanjang 13.5 meter berkapasiti 51 penumpang bagi menampung permintaan pelanggan.
"Sepatutnya ada 20 bas yang akan ditambah dengan setiap satu bernilai RM1.2 juta, namun tak sempat disiapkan dan dijangka hanya dua akan diterima dalam tempoh terdekat.
"Sehingga kini, 50,000 tiket E-Mutiara dalam tempoh 10 hari sebelum Aidilfitri pada 22 April ini habis dijual untuk ke 12 destinasi di seluruh negara,” katanya.
Menurut beliau, sejumlah 5,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan itu melalui 100 trip pada setiap hari.
"Trip itu juga sudahpun ditambah berbanding 70 perjalanan pada hari biasa bagi membolehkan perantau pulang menyambut Aidilfitri,” katanya.