SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut pemimpin dunia khususnya negara Islam termasuk Malaysia mengenakan tekanan politik terhadap Israel berhubung serangan di Masjid Al Aqsa.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa masyarakat antarabangsa perlu membuka mata melihat kekejaman rejim Zionis yang melangkaui norma kemanusiaan sejagat.
Iklan
Iklan
"Kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana membabitkan masyarakat awam termasuk wanita dan kanak-kanak seperti dilaporkan media antarabangsa.
"Tindakan ini sebagai perbuatan biadab kerana ia dilakukan ke atas umat Islam yang sedang beribadah sempena bulan Ramadan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri berkongsi video pihak berkuasa Zionis dikatakan menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah di dalam ruang solat Masjid Al-Qibli.
Berdasarkan video yang dimuat naik di Telegram Nadir Al Nuri itu, kelihatan keadaan di dalam ruang solat masjid dipenuhi dengan kepulan asap serta bunyi tembakan selain beberapa barangan dirosakkan.
Tambah Faisal, tindakan itu perlu dikecam kerana bertindak kejam dengan memukul para jemaah menggunakan belantan dan senapang hingga menyebabkan kecederaan serta sesak nafas.