SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Generasi muda masa kini kurang berminat untuk melanjutkan pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) ekoran tempoh pengajian yang lama selain gaji permulaan yang rendah.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan, golongan berkenaan kini lebih terbuka untuk terus bekerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding menghabiskan masa untuk belajar.
"Ini masalah generasi muda kita, berdasarkan kajian yang dilakukan, dua daripada tiga anak muda selepas SPM terus pilih jadi influencer (pempengaruh) dan tidak mahu lanjutkan pengajian ke IPT.
"Saya tidak boleh salahkan mereka kerana mereka telah kongsikan tiga perkara iaitu belajar sehingga empat tahun tetapi gaji rendah.
"Cuba tanya graduan undang-undang yang bekerja di firma guaman di Terengganu, gaji permulaan hanya RM1,500 setelah belajar untuk dapatkan ijazah undang-undang, lebih baik (mereka) kerja di Uniqlo dengan gaji RM2,500 tanpa perlu belajar hingga enam tahun," katanya pada sesi Dialog Siswa bersama Syed Saddiq di Kompleks Karangkraf pada Khamis.
Program yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar itu turut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
Dalam pada itu bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kecekapan penggunaan teknologi masa kini turut mempengaruhi keputusan golongan muda untuk tidak meneruskan pengajian di IPT yang dianggap membazir masa kepada mereka.
"Belum lagi setiap kali bertukar menteri, akan ada tambahan subjek baharu (yang) akhirnya anak muda kita terbeban.
"Selain itu ada juga minat generasi muda yang tidak ada matching (padanan), sebab itu saya tekankan micro credential course (kursus kelayakan mikro) dalam pendidikan, adakah mereka boleh belajar dalam tempoh tiga bulan (di IPT)," katanya.