Perak beri bantuan khas Aidilfitri RM700

Iklan
Saarani menyantuni penerima insentif pesara kerajaan negeri Perak bagi tempoh Julai 2021 hingga Jun 2022.

IPOH - Penjawat awam di Perak akan menerima bantuan khas kewangan RM700 sempena Aidilfitri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penyaluran bantuan pada 17 April itu melibatkan semua gred perjawatan termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service dan Contract For Service.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penerima bantuan khas tersebut termasuklah guru sandaran tidak terlatih (GSTT), guru i'dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan dan pegawai sambilan harian.

"Bantuan khas ini melibatkan peruntukan lebih RM5.63 juta dan akan dimanfaatkan seramai 7,892 penjawat awam negeri Perak," katanya dalam sidang akhbar sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju meneruskan bantuan Khas Aidilfitri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan kadar RM500 seorang, seperti tahun lalu.

"Pemberian ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Iklan

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM1.79 juta sebagai insentif kepada 492 pesara kerajaan negeri Perak bagi tempoh Julai 2021 hingga Jun 2022.

Katanya, melalui insentif itu, sebanyak RM4,400 akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada pesara yang layak.

"Insentif ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan," katanya.

Antara syarat kelayakan penerima insentif berkenaan adalah Pesara Kumpulan Pengurusan dan Profesional telah berkhidmat 15 tahun dan lebih secara terkumpul (aggregate) dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak dan berusia 50 tahun ke atas; dan Pesara Kumpulan Pelaksana telah berkhidmat 20 tahun dan lebih secara terkumpul (aggregate) dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak dan berusia 50 tahun ke atas.