GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat bazar Ramadan di Tanjung Tokong di sini pada Khamis.
Ketibaan Seri Paduka berdua disambut oserta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada jam 4 petang.
Para pengunjung yang jelas ceria dengan kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Seri Paduka berdua.
Dalam kunjungan kira-kira sejam itu, Seri Paduka berdua berkenan membeli juadah berbuka puasa di bazar berkenaan yang menawarkan lebih 83 juadah berbuka puasa.
Seorang penjual nasi campur, Salmiah Md Noh, 55, berkata, beliau amat teruja dan gembira dapat berjumpa dengan pasangan diraja itu secara dekat.
"Saya tidak menyangkakan sepanjang umur hidup, saya dapat berjumpa dengan Seri Paduka berdua dengan begitu dekat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Salmiah yang telah berniaga nasi berlauk lebih 30 tahun berkata, beliau berasa amat bangga kerana Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut membeli tiga lauk dari gerainya sebagai juadah untuk berbuka puasa.
"Antara lauk yang dipilih oleh Seri Paduka adalah ayam goreng berempah, rebung masak lemah dan kobis goreng," katanya.
Kira-kira 1,000 orang mengunjungi bazar berkenaan berpeluang untuk melihat kelibat tetamu istimewa itu secara lebih dekat.
Seri Paduka berdua berada di Pulau Pinang dalam lawatan tiga hari sehingga Sabtu ini dan dijadual berangkat menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Mutiara, kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di sini petang ini. - Bernama