KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh untuk mendengar permohonan kebenaran merayu ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjadi pencelah dalam prosiding penceraian wanita berkenaan.
Peguam Danial Farhan Zainul Rijal, ketika dihubungi berkata, tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes secara dalam talian pada Khamis di hadapan Timbalan Pendaftar, Rosidah Roslee, yang turut disertai peguam J Gunamalar yang mewakili Siew Hong.
Siew Hong, 36, memfailkan permohonan kebenaran merayu bulan lalu bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan MAIPs dijadikan responden kedua dalam petisyen penceraiannya dengan suami, Muhammad Nagahswaran Muniandy, membabitkan perintah hak penjagaan yang diberikan kepada ibu tunggal itu ke atas tiga anaknya.
Dalam petisyen perceraian itu, Siew Hong telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi tiga anaknya iaitu pasangan kembar perempuan berusia15 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Pada 7 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan berdasarkan dua peruntukan iaitu Aturan 15 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, ia memberikan MAIPs hak undang-undang untuk mencelah.
Pada 15 Jun 2022, Mahkamah Tinggi, di sini, menolak permohonan MAIPs untuk menjadi pencelah dalam prosiding perceraian pasangan itu bagi meminda perintah penjagaan anak pasangan itu yang diberikan kepada Siew Hong untuk membolehkannya menyediakan pendidikan dan latihan yang Islamik serta zakat kepada ketiga-tiga kanak-kanak yang turut memeluk agama Islam bersama bapa mereka.
Pada 21 Februari 2022, tiga beradik itu yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan kepada Siew Hong selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.
Siew Hong juga memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama anaknya kepada agama Islam yang didakwa dilakukan oleh bekas suaminya tanpa persetujuan beliau.
Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mei ini untuk keputusan.
Semalam, Muhammad Nagahswaran, yang didakwa melarikan tiga anaknya dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa kebenaran bekas isterinya, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menghina mahkamah. - Bernama