PUTRAJAYA - Kerajaan meneruskan usaha mengawal harga barangan termasuklah mengurangkan pembabitan orang tengah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga boleh dikawal sekiranya orang tengah hanya mengambil keuntungan berpatutan sahaja.
"Apa yang penting kita lihat di jualan agro bazar ini harga sayur jauh lebih murah kerana tidak melalui orang tengah dengan keuntungan berlebihan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jualan Agro Rahmah di Tapak Bazar Ramadan, di sini pada Khamis.
Menurutnya, penghapusan peranan orang tengah boleh dilaksanakan dengan cara mengadakan pasar-pasar tani atau projek-projek seperti jualan agro bazar yang diselenggarakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengawal harga barang.
"Ada juga barangan yang diimport, itu tak dapat kawal, tetapi hasil dalam negeri boleh dikawal," katanya.
Beliau berkata, teori peranan orang tengah menyebabkan harga sesuatu barangan itu meningkat adalah apa yang pernah disebut oleh Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada tahun 1990-an lagi mengenai 'penyelewengan dalam infrastruktur pemasaran'.
"Kalau kita dapat kurangkan peranan orang tengah atau orang tengah mengambil keuntungan berpatutan, maka harga boleh dikawal," ujar beliau.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan sewa tapak bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya diturunkan kepada RM850 berbanding RM1,000 sebelum ini.
"Kita bagi peluang kepada peniaga untuk dapatkan keuntungan lebih dan jika sambutan itu baik, diskaun sewa boleh dipanjangkan selepas Ramadan," katanya.