SKUAD renang negara berharap tuah memihak mereka untuk meraih keputusan lebih baik pada Sukan SEA Kemboja bulan depan berbanding satu pingat emas pada temasya di Hanoi tahun lalu.
Jurulatih skuad renang, Chris Martin bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sasaran pingat, namun berharap perenang negara dapat melakukan yang terbaik.
Justeru katanya, kem renang giat merangka strategi untuk mencapai keputusan yang diharapkan di Pusat Akuatik Morodok di Phnom Penh, dengan menyenaraikan 18 perenang.
"Kita telah menetapkan sasaran dan kita akan buat yang terbaik untuk mencapainya. Tahun lepas, kita peroleh kejayaan dalam acara relay berbanding sebelum ini, jadi sesuatu yang baik,” katanya pada sidang akhbar skuad renang di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada bulan lalu menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Terbuka Malaysia edisi ke-65.
"Seperti saya katakan, ini sebab kita anjurkan kejohanan di sini dan tiada siapa boleh mengatakan siapa menang.
"Daripada laporan, kolam renang di Phnom Penh sangat baik, lebih baik berbanding tahun lepas, kita teruja,” katanya.
Pada edisi di Hanoi, Khiew Hoe Yean menjadi satu-satunya pemenang pingat emas acara renang di temasya dwitahunan itu menerusi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, selain meraih empat perak dan dua gangsa.
Pencapaian skuad renang negara di Sukan SEA menyaksikan pernah meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa di Filipina pada 2019, 5-3-3 di Kuala Lumpur (2017), 3-4-4 di Singapura (2015), 4-4-4 di Myanmar (2013) dan 5-10-3 di Indonesia (2011).
Martin juga berharap barisan perenang tidak mengulangi kesilapan yang menyebabkan mereka hilang pingat perak dan rekod kebangsaan tidak diiktiraf dalam acara 4x400m gaya bebas lelaki di Hanoi kerana kesalahan 'false start'.
Berdasarkan keputusan, Singapura dan Malaysia dibarisi Welson Sim, Lim Yin Churn, Hoe Yean dan Arvin Shaun Singh Chahal menamatkan saingan masing-masing di tempat pertama dan kedua diikuti Vietnam ketiga.
Bagaimanapun, pembatalan akibat kesalahan berkenaan menyebabkan Singapura dan Malaysia hilang kelayakan sekali gus menyaksikan Vietnam meraih emas, diikuti Indonesia dan Thailand dengan perak dan gangsa.
"Kami menjalankan latihan khas namun kesilapan tetap dilakukan, itulah bahang pertandingan.
"Kita tidak berada dalam keadaan tersebut dan atlet agak gementar ketika itu tapi kali ini mereka akan lebih baik,” katanya.