WUIF sasar 1.6 bilion tanda pagar QuranHour

Iklan
Orang ramai membaca al-Quran ketika penganjuran Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos tahun lalu. Gambar kecil: Marhaini

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui penganjuran World #QuranHour menyasarkan 1.6 bilion tanda pagar (hashtag) QuranHour dari seluruh dunia pada acara terbesar yang bakal berlangsung pada 13 April bersamaan 22 Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, jumlah itu berdasarkan pencapaian World #QuranHour pada tahun 2019 iaitu sebanyak 1.46 bilion dengan pelaksanaannya melibatkan lebih 3,000 lokasi di 77 buah negara termasuk Malaysia.

Iklan
Iklan

"Pada tahun ini, kita target lebih 4,000 lokasi di 100 buah negara. Alhamdulillah kami telah mendapat persetujuan untuk mengadakan kerjasama dengan Mesir, Brunei, Indonesia, Thailand, Libya, Turkiye dan banyak lagi.

"Bagaimanapun menjadi cabaran utama kepada kami adalah bagi memastikan mereka membuat pendaftaran.

"Kadang-kadang ada yang mengikuti program ini tetapi tidak berdaftar, bila gambar dihantar baru kami tahu mereka menyertainya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

Marhaini sangat berharap agar semua peserta dapat membuat pendaftaran di beberapa laman sosial World #QuranHour seperti Facebook, YouTube dan Instagram.

Iklan

"Pendaftaran itu bagi memastikan ketepatan jumlah kehadiran orang ramai sekali gus menilai kejayaan program ini.

"Selain itu, kami juga mengalu-alukan penglibatan daripada golongan bukan Muslim untuk menyertai World #QuranHour. Pada tahun-tahun sebelumnya, sambutan daripada mereka juga agak menggalakkan,” jelasnya.

Marhaini berkata, ada dalam kalangan orang bukan Islam suka menghayati maksud yang tersirat dalam kitab suci al-Quran.

Mengenai pemilihan Surah Al-Insan pada program World #QuranHour 1444H, beliau menjelaskan, ia bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).

"Surah ini sangat menarik untuk diketengahkan. Kadang- kadang nilai kemanusian yang ada dalam diri kita terhakis.

"Jadi apa yang ALLAH SWT beri panduan melalui melalui al-Quran dapat mengembalikan watak insaniah dalam diri setiap individu,” ujarnya.

Mereka yang berminat untuk menyertai World #QuranHour boleh membuat pendaftaran di www.facebook.com/WorldQuranHour, www.youtube.com/MyQuranTimeOfficial, www.instagram.com/_quranhour.