Doktor kontrak yang terus berjuang

Iklan
Selain kumpulan dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia, terdapat juga gerakan hartal doktor kontrak yang mengetengahkan beberapa tuntutan kepada pihak kerajaan sebelum ini. - Foto fail

NEGARA sering mendengar masalah dilontarkan oleh doktor kontrak yang tidak berpuas hati dengan status pekerjaan kerana masih tidak mendapat jawatan secara tetap dalam sektor berkenaan.

Isnin lalu, sektor kesihatan negara kembali menjadi tumpuan ramai apabila gerakan baharu melibatkan kumpulan doktor kontrak mengadakan mogok selama tiga hari.

Iklan
Iklan

Dikhabarkan, kumpulan yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia itu disertai kira-kira 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan.

Mogok pula adalah dengan cara mengambil cuti sakit, cuti kecemasan atau meletak jawatan secara beramai-ramai.

Iklan

Tuntutan kumpulan berkenaan termasuk semua doktor kontrak diberi jawatan tetap, kenaikan gaji pokok dan kadar on-call serta penyelesaian kepada kekurangan kakitangan.

Sebelum ini, terdapat juga satu gerakan hartal doktor kontrak yang mendesak perkara sama.

Iklan

Menurut satu laporan media, seorang wakil daripada kumpulan di sebalik akaun Instagram @mogokdoktormsia berkata, sudah banyak jawatankuasa dan sesi pertemuan diadakan tetapi masalah masih tiada penyelesaian.

Kata mereka, mogok pada 3 hingga 5 April itu dilakukan kerana 83 peratus doktor kontrak tidak diberikan jawatan tetap baru-baru ini.

Ia menyebabkan kumpulan tersebut meluahkan rasa kecewa dan hilang kepercayaan terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, mogok bukan jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sebarang masalah berkaitan pegawai perubatan.

Justeru, pada 31 Mac, jemaah kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu doktor kontrak.

Hasilnya, Perdana Menteri dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat memutuskan kerajaan akan menyerap seramai 12,800 doktor kontrak yang tamat housemanship sebagai lantikan tetap dalam tempoh tiga tahun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Tambun berkata, langkah itu bermula dengan menyerap hampir 4,300 pegawai kontrak sebagai lantikan tetap pada tahun ini.

Beliau berkata, baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan kira-kira RM1.7 bilion.

Penulis memahami perasaan doktor kontrak. Mereka juga sama-sama merasai penat lelah terutama ketika negara berdepan gelombang Covid-19.

Ada yang tidak mendapat rehat mencukupi, melupakan cuti untuk bersama keluarga, malah ada juga yang pengsan semasa sedang bertugas.

Adalah sesuatu yang amat mengecewakan setelah berhempas pulas menjadi yang terbaik di sekolah, kemudian menyambung pengajian di universiti semata-mata untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor dan akhirnya mendapat kerjaya sebagai doktor dengan hanya berjawatan kontrak.

Kerjaya yang tidak menentu itu sedikit sebanyak membantutkan semangat mereka untuk bergelar doktor pakar di tanah air sendiri.

Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu memulakan langkah pertama dengan memastikan status jawatan doktor kontrak adalah sama dengan doktor lantikan tetap terutama dari segi gaji, cuti dan elaun-elaun yang berkaitan.

Walaupun barangkali adalah mustahil untuk kerajaan memenuhi seluruh permintaan pegawai kontrak dalam perkhidmatan kesihatan, namun sekurang-kurangnya KKM dapat memastikan ada sinar dan kemajuan terhadap usaha menangani isu itu yang sudah berbangkit sekian lama.

Isu doktor kontrak telah menjadi isu jangka panjang yang kronik dan ia memerlukan pembaharuan sistemik.

Sedih juga mengenangkan nasib doktor kontrak di Malaysia. Mereka tidak dapat merancang masa hadapan apabila tidak dijamin diserap ke jawatan selepas tamat kontrak walaupun mungkin sudah bekerja lebih lima tahun.

Dalam hal ini, apa pun pilihan atau keputusan yang diambil oleh kerajaan mahu pun doktor kontrak, pastikan rakyat tidak menerima kesannya.

Ketika para doktor semakin tertekan dengan pelan perjawatan yang pincang, jangan pula perkhidmatan kesihatan awam ‘semakin tempang’ dengan servis yang tidak sepadan permintaan.

* Nazrin Zulkafli ialah wartawan Sinar Harian