SHAH ALAM - Sebanyak 90 peratus daripada lebih 14,000 anggota polis di negeri ini akan bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, cuti minimum diberikan kepada anggota untuk penugasan kali ini.
"Cuti akan hanya melibatkan 10 peratus dari keseluruhan jumlah anggota manakala baki 90 peratus akan bertugas yang mana melibatkan kesemua elemen antaranya trafik, jenayah, siasatan dan lain-lain.
"Selain itu, saya beri jamin rondaan akan digandakan di kawasan atau sektor-sektor utama, slip kehadiran akan diletakkan di kotak-kotak rumah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam Program Rakaman Takbir Raya Aidilfitri di Surau Khalid Al-Walid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.
"Borang boleh didapati di balai polis berhampiran atau dimuat naik melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di App Store dan Google Playstore.
"Pentingnya bagi memaklumkan lokasi dan jumlah hari ketiadaan mereka sekali gus memudahkan lagi anggota polis menjalankan pemantauan rondaan cegah jenayah secara menyeluruh di kawasan berkenaan," katanya.
Ujar Hussein, orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan sama ada di rumah atau jalan raya.
"Patuhi semua aspek keselamatan, pastikan rumah berkunci sebelum meninggalkan rumah untuk pulang bercuti.
"Begitu juga ketika memandu, pengguna diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.