SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan 3,223 Jualan Rahmah di seluruh negara membabitkan keseluruhan jualan bernilai RM52 juta sejak Januari hingga kini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, ia melibatkan 118 Parlimen dengan jualan barangan lebih murah sehingga potongan 30 peratus berbanding harga pasaran sekali gus bertujuan membantu mengurangkan kos hidup rakyat.
"Di peringkat kementerian, kami luluskan RM125,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri dengan keseluruhan RM100 juta yang boleh digunakan hingga hujung tahun untuk melaksanakan Jualan Rahmah.
"Sebelum ini pun memang ada (Jualan Rahmah) yang ia merupakan inisiatif dengan kerjasama sesetengah pasar raya, tetapi dengan subsidi yang kami tawarkan, insya-Allah lebih giat lagi akan dilakukan...dengan ada pakej Rahmah, barang berharga RM70 dijual RM50 selain pelbagai diskaun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Rahmah peringkat Negeri Sembilan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini pada Jumaat.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan diadakan selama tiga hari mulai Jumaat membabitkan 11 pasar raya terpilih selain pengunjung pada hari ini turut diberikan baucar e-dompet berjumlah RM20 untuk digunakan bagi membeli barangan.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, kebanyakan pengilang telah menyatakan kesediaan mereka untuk turut melaksanakan Jualan Rahmah yang akan diumumkan secara satu persatu dalam waktu terdekat.
"Ada pengilang sudah mula buat inisiatif ini...mereka ambil masa lama kerana perlu berbincang secara terperinci dengan peruncit terlebih dahulu memandangkan ia ada kesan dengan stok sedia ada...dijangka lebih banyak pengilang akan sertai kami laksanakan Jualan Rahmah,” katanya.
Mengenai stok minyak masak bersubsidi dalam negara, beliau berkata, bekalannya mencukupi ketika ini dan KPDN sentiasa melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini termasuk penyelewengan, ketirisan dan pencatutan.
"Kami keluarkan 60 juta peket minyak masak sebulan, itu kuota kami, jadi dari segi jumlah tidak kurang, tapi apabila berlaku ketirisan, ada keadaan orang ramai tak dapat beli minyak masak namun penguat kuasa sentiasa turun padang untuk pastikan keperluan dan harga dikawal,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, selain Jualan Rahmah, kerajaan negeri juga sebelum ini turut mengadakan kolaborasi bersama KPDN negeri bagi membantu usahawan tempatan dan menangani peningkatan harga barang termasuk penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia dan NS Fest. - Bernama