SHAH ALAM - Empat lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan membawa masuk 44 pendatang tanpa izin secara haram pada 31 Oktober tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, Nurulhuda Nur'ain Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas kempat-empat tertuduh Tamrin Lubis, 47; Wildan, 35; Abdul Hadi, 49 dan Uji Rashid, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan itu sebaik ia dibacakan jurubahasa mahkamah.
Iklan
Iklan
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh yang bertindak selaku tekong dan kru didakwa menyeludup 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) secara haram melalui jalan yang tidak diwartakan pada 31 Oktober 2022.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Selangor, Noor Syazwani Muhammad Sobri.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot kayu membawa 44 PATI termasuk tekong dan kru di perairan Tanjung Layang, sekitar jam 9.35 malam pada 31 Oktober 2022.