ECRL dijangka beroperasi awal 2027 - Anthony

Iklan
Pembukaan ECRL akan mempercepatkan peralihan pergerakan kargo dari jalan ke kereta api.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Perkhidmatan kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka beroperasi pada awal 2027 akan mempercepatkan peralihan pergerakan kargo dari jalan ke kereta api sekali gus mengurangkan kesesakan dan kebimbangan berkaitan alam sekitar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemindahan kargo dilakukan secara meluas melalui kereta api antara Pantai Timur dan Lembah Klang akan datang mengurangkan pergerakan lori besar di jalan raya.

Iklan
Iklan

"Bila ECRL mula beroperasi pengangkutan kargo yang sebelum ini iaitu menggunakan jalan raya bertukar kepada kereta api. Ini adalah dasar penting yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan untuk menggalakkan lebih banyak pengangkutan barang menggunakan perkhidmatan itu (kereta api).

"Seperti yang kita tahu kebanyakan lori perlu melalui jalan Karak apabila mereka lalui di jalan Titiwangsa khususnya Genting Sempah dan sebagainya, sudah tentu selalu menyebabkan kesesakan yang teruk, selain membahayakan kenderaan berat dari segi geografinya," katanya dalam satu sidang akhbar di sini selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) pada Jumaat.

Iklan

Beliau menjelaskan projek ECRL ini adalah pemangkin untuk hub perindustrian bukan sahaja untuk MCKIP tetapi di semua peringkat pengangkutan di negara ini.

Justeru, pihaknya merancang supaya banyak lagi kawasan perindustrian dan juga hab logistik dibina sepanjang laluan ini, terutamanya di Pahang.

Iklan

"Kalau boleh bukan sahaja di Kuantan, tetapi juga di Temerloh (khusus stesen Mentakab), stesen Bentong dan beberapa kawasan perindustrian di Pahang.

"Sebagai komitmen, kita memberi sokongan dan berharap kerajaan Pahang dapat membangunkan lebih banyak kawasan perindustrian di sepanjang laluan. Perancangan kita supaya stesen utama di laluan ERCL tidak hanya mengfokuskan kepada penumpang tetapi menjadi satu hab kargo," ujarnya lagi.