Dakwaan Anwar 'larikan gas' dari JDA ke Songkhla tak benar

Iklan
Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab 'melarikan gas' dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (JDA) ke Songkhla, Thailand pada tahun 1996 ketika menjadi Menteri Kewangan adalah tidak benar sama sekali.

Bagi anak Kelantan yang juga bekas jurutera petroleum, Datuk Paduka Rahim Kamil Sulaiman, dakwaan itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Rahim, 69, berkata, pada awal 1996, pengerusi Koperasi Usaha Bersatu Malaysia Bhd (KUB) Allahyarham Datuk Hassan Harun mempelawa beliau mengambil bahagian dalam pembangunan industri petrokimia di Pantai Senok, Kelantan.

"Pada 9 Mei 1996, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim (pada masa itu) telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KUB dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi pembangunan industri petrokimia di Pantai Senok, Kelantan," katanya menerusi satu kenyataan.

Iklan

Menurut Rahim, beliau bersetuju dengan pelawaan Hassan dengan syarat, sebagai anak jati Kelantan, Hassan menggunakan hubungan politiknya untuk menyalurkan gas yang kaya dengan kondensat dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (JDA) ke Kelantan.

Perbincangan itu, katanya, juga diadakan dengan pegawai kanan PTT, syarikat minyak nasional Thailand kerana terdapat bekas jurutera minyak Petronas yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Thailand.

Iklan

"Pihak Thailand tidak menolak untuk mewujudkan pasaran baharu di Malaysia," jelasnya.

Menurutnya, setelah membuat pembentangan kepada Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad, dan yakin KUB mendapat sokongan perdana menteri yang merupakan de facto menteri petroleum, beliau menyertai KUB pada April 1996.

Pada masa itu, katanya, Anwar menyokong penuh langkah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan.

"Semasa majlis menandatangani perjanjian pada 9 Mei 1996, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan pusat tidak mempunyai sebarang masalah jika kerajaan negeri Kelantan terbuka kepada kerjasama demi kepentingan rakyat negeri itu.

"Allahyarham Tuan Guru (Datuk Seri) Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, menyambut baik jaminan ini apabila kami memberi taklimat kepada beliau," kata Rahim.

KUB meneruskan rekayasa dengan sebuah syarikat kejuruteraan Jerman bersama dengan Ranhill Bersekutu untuk menyediakan laporan interim mengenai kebolehlaksanaan teknikal kompleks petrokimia yang dicadangkan di kawasan seluas 5,000 ekar di Pantai Senok.

Laporan itu mengenal pasti proses pemisahan gas dan petrokimia dua dekad lebih awal daripada kompleks petrokimia Pengerang sedia ada, katanya.

Rahim berkata, pelaksanaan Kompleks Petrokimia Bersepadu Pantai Senok (KPBPS) bakal melonjakkan Malaysia untuk menjadi pembekal"plastik pintar”, sekali gus mengatasi Korea yang miskin sumber pada masa itu untuk menghasilkan produk industri moden.

Sektor swasta, terutamanya KUB dan MRCB (Malaysian Resources Corporation Bhd), sangat teruja dengan prospek menerajui pembangunan Kelantan, katanya, namun kegembiraan itu pramatang.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tahu bahawa hubungan antara Perdana Menteri dan timbalannya mulai suram pada pertengahan tahun 1997 dan pada 2 September 1998, Anwar terkeluar daripada UMNO dan kerajaan.

"Dia ditahan di bawah ISA pada 20 September... bilakah Anwar mempunyai masa untuk"larikan gas JDA" dari Kelantan ke Songkhla?," soalnya.

Pada awal 1998, KUB sebagaimana korporat Malaysia yang lain juga berada di tahap kritikal untuk mengurangkan kesan Krisis Kewangan Asia, menyebabkan projek Pantai Senok yang bercita-cita tinggi terpaksa ditangguhkan, katanya.

"Petroleum bukan portfolio Anwar, dalam semua kebarangkalian, Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) memutuskan mengenai pendaratan di Songkhla sekitar akhir 1999 atau awal 2000.

"Pihak berkuasa bersama ini hanya meluluskan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran pada bulan September 2004," kata Rahim.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai"komedi kesilapan dan politik pencederaan diri". - Bernama